fbpx

Rosmah tidak sihat, pendengaran gugur hakim kes solar ditangguh kepada 15 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah projek solar yang dihadapi ditangguhkan kepada 15 Mei di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Ia berikutan apabila Rosmah, 74, selaku perayu mengalami masalah kesihatan sebelum prosiding berlangsung.

Pada awalnya isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah hadir di mahkamah, namun terpaksa ke hospital.

Semasa prosiding di hadapan panel tiga hakim, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, 74, memaklumkan anak guamnya mengalami sakit kepala.

“Beliau menghidap kencing manis dan darah tinggi, jadi anak guam terpaksa ke hospital swasta di Kuala Lumpur,” katanya.

Mendengar perkara itu, panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama hakim-hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin kemudian menetapkan 15 Mei ini bagi pendengaran permohonan itu.

Semasa prosiding, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai.

Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zaini Mazlan pada 2022 dua hari sebelum keputusan kes solar itu dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya “penghakiman kes didakwa bocor”.

Pada 1 September tahun yang sama, Mohamed Zaini telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI