MALAYSIA terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila ratu boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah secara rasmi bergelar pemain nombor satu dunia sekali gus mengharumkan nama tanah air di persada sukan dunia.
Pengumuman itu dibuat selepas kemas kini ranking terbaharu World Bowls Series kelmarin menyaksikan Farah mengumpul 723 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Scotland, Julie Forrest (683 mata) di tempat kedua.
Bintang Australia, Kelsey Cottrel pula berada di tempat ketiga dengan 676 mata.
Kejayaan luar biasa itu tidak datang sekelip mata, sebaliknya hasil prestasi konsisten pemain berusia 24 tahun itu sepanjang musim lalu termasuk mencipta sejarah meraih pingat emas Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.
Lebih manis, Farah turut menjadi tulang belakang kejayaan skuad negara apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.
“Saya sangat bersyukur, lebih-lebih lagi berita gembira ini datang dalam bulan Ramadan. Naik ke ranking nombor satu dunia adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangka.
“Ini semua berkat doa ibu bapa, jurulatih dan semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Bagaimanapun, Farah enggan terlalu selesa dan sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran juara di Kejuaraan Dalam Dewan Dunia di Aberdeen, Scotland bulan depan.
“Ini satu cabaran besar sebab saya datang sebagai juara bertahan, tapi saya akan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan kejuaraan atau sekurang-kurangnya bawa pulang pingat,” tambahnya.
Sebagai rekod, Farah menamatkan tahun 2024 di tangga kedua dunia sebelum melonjak ke kedudukan nombor satu hasil konsistensi luar biasa sepanjang musim lepas.