fbpx

PM berbuka puasa di negeri-negeri minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa pada tahun lalu.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri bermula minggu depan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani.

Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, beliau turut akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama Kerajaan Negeri serta agensi.

“Perdana Menteri telah menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi Perdana Menteri dalam perbincangan bersama pimpinan Kerajaan Negeri dan agensi.

“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua Setiausaha Politik ke negeri-negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Katanya, usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar, dan insya-Allah kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI