PARIT BUNTAR – Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan Honda City di Jalan Pantai Batu 9, Batu Piandang, Kuala Kurau di sini pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Baharudin Ahmad, 59, yang merupakan pesara polis dan isterinya, Wan Saniah W Ismail, 66, disahkan maut di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau yang tiba di lokasi pukul 7.39 pagi mendapati seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia 13 tahun cedera.
Beliau berkata, pemandu kereta Honda City berusia 20 tahun tidak dapat dikesan di lokasi kemalangan.
“Dua mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Kelisa disahkan maut oleh pihak KKM sebelum anggota bomba sampai di lokasi. Seorang mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh pihak KKM,” katanya hari ini.
Sabarodzi berkata, mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE