CARACAS – Satu klip video tular memaparkan seorang penumpang pesawat Plus Ultra cuba membuka pintu kecemasan semasa ia terbang di udara, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku melibatkan pesawat jenis Airbus A330 yang sedang menuju ke Caracas, Venezuela dari Madrid, Sepanyol pada 28 Februari lalu.
Rakaman dimuat naik di media sosial menunjukkan penumpang lelaki itu cuba memusingkan pemegang pintu ketika pesawat berada pada ketinggian 10,668 meter.
Dia kemudian dikepung dan ditahan di atas lantai dengan tangannya diikat oleh beberapa kru penerbangan.
Jurucakap syarikat penerbangan Plus Ultra berkata, lelaki tersebut mula mengganggu penumpang yang duduk di sebelah dengan menjerit dan menamparnya semasa tidur.
“Kru kami bertindak pantas dengan memindahkan penumpang tersebut ke tempat duduk lain.
“Selepas itu, dia berlari ke salah satu pintu pesawat dan cuba membukanya tetapi dihalang oleh kru,” tambah syarikat itu.
Pesawat tersebut selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar, manakala penumpang berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. – AGENSI