GEORGE TOWN – Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bayaran khas itu akan diberikan kepada 7,066 penerima sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri bersetuju meluluskan BKK yang dianggarkan berjumlah RM7.81 juta sebagai penghargaan kepada penjawat awam dan pembayaran bantuan khas itu bermula 19 Mac ini.
“Ia adalah penghargaan di atas usaha mereka dalam merealisasikan Visi Penang2030 ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut memberikan BKK sebanyak RM300 kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), institusi tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina di negeri ini.
“Pemberian ini turut dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE