fbpx

Pemilik kondo, JMB bersubahat dengan sindiket ‘calling centre’ berdepan pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli ketika sidang akbar di Menara KPJ hari ini. - Foto oleh KOSMO! / M FIRDAUS M JOHARI

KUALA LUMPUR – Pemilik, pengurusan bangunan (JMB) dan syarikat kawalan keselamatan kondominium bakal berdepan tindakan pendakwaan jika didapati bersekongkol dengan sindiket panggilan dalam talian yang menyewa premis berkenaan untuk kegiatan haram itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah menyerbu tiga kondominium berlainan yang menjadi ‘markas’ di Jalan Tun Razak, di sini, 26 Februari lalu.

Katanya, alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan.

“Kita akan mencadangkan pertuduhan di bawah Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pakat jahat jenayah turut dikenakan terhadap tiga kumpulan individu ini.

“Pakat jahat jenayah merupakan
kesalahan yang boleh mengakibatkan individu yang dituduh dihukum seolah-olah dia bersubahat dengan kesalahan itu,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yakin cadangan pertuduhan di bawah seksyen ini dapat dilaksanakan melalui keterangan yang diambil dalam siasatan kes-kes berkenaan.

“Pemilik premis perlu ambil tahu siapa penyewa atau ‘Know Your Customer’ (KYC). Mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap sebarang aktiviti jenayah yang dilakukan di premis milik mereka.

“Melalui risikan yang dijalankan, kita mendapati maklumat bahawa sebahagian syarikat kawalan keselamatan dan pihak pengurusan bangunan sememangnya mengetahui kewujudan aktiviti jenayah atau aktiviti mencurigakan dalam kondominium mereka namun sama ada ia dilindungi atau tidak dilaporkan,” katanya.

Menurut Ramli, dalam serbuan berasingan itu pihaknya menahan seramai 11 individu warga China berusia antara 28 hingga 42 tahun.

“Tiga sindiket berasingan itu menyasarkan mangsa warga China dan dipercayai beroperasi sejak dua bulan hingga setahun lalu di tiga unit kondominium terbabit.

“Siasatan di bawah Seksyen 420/120 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan China serta pakar negara itu sebagai usaha menangani kes jenayah ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI