KUANTAN – Kebakaran tanah gambut di ladang kelapa Kampung Bukit Palas, Gebeng, di sini yang telah berlarutan sejak lebih seminggu lalu dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam minggu ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini sedang giat menjalankan operasi pemadaman di kawasan seluas 130 hektar terbakar yang memasuki hari ke-11 dengan baki 78.6 hektar masih dalam proses pemadaman.
Pengarah JBPM Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, operasi melibatkan 70 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng serta 10 balai lain di bawah Zon Satu.
“Operasi turut disokong oleh sebuah helikopter untuk melaksanakan ‘water bombing’ selain penggunaan tiga jentera jengkaut dan dua eskavator bagi membina sekatan menghalang api daripada terus merebak.
“Dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kami yakin kebakaran ini dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Mohd. Razam, cuaca panas dan angin kencang sejak beberapa hari lalu menjadi cabaran utama dalam operasi pemadaman.
“Pada Jumaat lalu, keadaan hampir terkawal, tetapi pada Sabtu dan Ahad, angin kuat serta ketiadaan hujan menyebabkan api kembali marak. Bagaimanapun, kami sedang mengambil langkah agresif untuk memastikan kebakaran ini dapat dipadam dalam minggu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE