KOTA TINGGI – Seorang nenek maut selepas Proton Saga dinaiki bersama anak dan cucunya terlibat kemalangan di Kilometer 9.8 Jalan Kota Tinggi – Kluang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa, Siti Norlia Mustajab, 59, disahkan meninggal ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, pihak polis mendapat maklumat kejadian itu kira-kira pukul 8.45 pagi melibatkan dua buah Proton Saga berwarna merah dan emas.
Menurutnya, Proton Saga berwarna emas dipandu seorang wanita tempatan berusia 26 tahun, manakala Proton Saga merah dipandu seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun.

“Ketika kejadian pemandu Proton Saga emas membawa dua penumpang berusia dua tahun merupakan anaknya dan juga ibunya 59 tahun yang maut dalam nahas itu.
“Kemalangan disyaki berlaku apabila Proton Saga berwarna merah dari arah Kampung Lukut Batu Ampat hendak ke Kota Tinggi telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung di bahagian hadapan sisi kiri Proton Saga berwarna emas.
“Dalam kemalangan tersebut, pemandu Proton Saga berwarna emas kini menerima rawatan di HKT manakala ibunya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan, manakala penumpang belakang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Proton Saga merah mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki. – KOSMO! ONLINE
Habis//