fbpx

Nasi beriani sajian Istana Johor suntik semangat kru KD Perkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KRU KD Perkasa menerima juadah berbuka puasa dari Istana Johor sempena lawatan Tunku Tunku Idris di atas kapal KD Perkasa di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

KOTA TINGGI – Tunku Temenggong Johor, Komander Tunku Idris Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyantuni kru kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Perkasa yang sedang melaksanakan penugasan rondaan Ops Kekal Warisan di perairan Selatan Johor.

Dalam rangka lawatan itu, Tunku Idris mengurniakan juadah berbuka puasa nasi beriani sajian istimewa dibawa khas dari Istana Johor kepada 60 kru KD Perkasa.

Pegawai Memerintah KD Perkasa, Leftenan Komander Tengku Muhd. Faezal Engku Muhd. Din TLDM berkata, dengan kesudian Tunku Idris turun ke bawah melihat pasukan keselamatan bertugas dapat menyuntik semangat moral kesemua kru.

“Kami rasa dihargai apabila pihak Istana Johor sudi datang turun menyantuni kami dibawah ini, semua warga saya tidak menyangka perkara ini terjadi.

“Meskipun berada jauh daripada keluarga, tugas dan amanah yang digalas dalam menjaga perairan negara tidak dilupakan meskipun berada di bulan Ramadan.

“Faktor berjauhan dengan keluarga juga tidak menjadi penghalang untuk warga KD Perkasa terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, terutamanya dalam tempoh masa yang panjang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tengku Muhd. Faezal menambah, secara tidak langsung, melalui program ini juga memperlihatkan keprihatinan Kerabat Diraja bersama warga TLDM yang sedang menjaga perairan negara.

Selain itu, katanya, meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang pengorbanan warga TLDM yang bertugas sebilang masa demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terkawal, aman dan sejahtera.

“Pengorbanan warga barisan hadapan pertahanan maritim negara sentiasa diingati dan dihargai kerana penglibatan mereka yang tidak pernah kenal erti lelah dalam memastikan keselamatan perairan negara terpelihara.

“Tugas berat yang mereka galas mencerminkan komitmen tinggi dalam melindungi kedaulatan maritim, sekali gus menjaga kestabilan dan keamanan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI