PETALING JAYA – Kekosongan penyampai bagi segmen 3 Pagi Era hari ini diisi oleh Munabella dan Namie bagi menggantikan Nabil Ahmad, Azad Jasmin serta Radin yang kini digantung tugas susulan video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Namun, pihak radio Era FM tidak menyatakan sama ada Munabella dan Namie kekal sebagai penyampai slot pagi tersebut.
Difahamkan, Munabella sebelum ini mengendalikan segmen Chingu Era pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 8 malam.
Namie pula merupakan penyampai bagi slot Sabtu Pagi Era pada pukul 7 hingga 10 pagi bersama Hawa Rizwana.
Sementara itu, Era turut mengeluarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) menyatakan permohonan maaf dan kekesalan susulan konten kontroversi yang tular sejak semalam.
“Kami di Astro Audio melahirkan rasa kekesalan dengan insiden yang telah menyakitkan dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak melibatkan tiga penyampai radio Era.
“Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak.
“Kami akan memastikan setiap kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Meninjau komen netizen sejak semalam, rata-rata berpendapat, keputusan pihak Astro menggantung tugas tiga penyampai radio mereka adalah wajar.
“Perlu gantung tugas mereka supaya menjadi pengajaran pihak lain agar tidak sesuka hati melakukan konten sensitif.
“Buat lawak mempersendakan agama adalah perkara sensitif. Lain kali kena fikir dahulu sebelum buat sebarang jenaka atau muat naik konten dalam media sosial,” komen netizen.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Nabil, Azad Jasmin dan Radin memohon maaf atas video kontroversi konten yang didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.
Rentetan itu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata antara lain MCMC juga perlu memanggil semua yang terlibat termasuk pihak Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan penjelasan penuh. – KOSMO! ONLINE