SUNGAI PETANI – Anak bongsu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun yang juga legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia awal pagi ini.
Muhammad Darwisy yang berusia setahun dan mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung sejak lahir menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Resort Homes Cinta Sayang, di sini kira-kira pukul 3.15 pagi tadi.
Baddrol yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini berkata, kejadian disedari isterinya, Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, ketika mahu memberi susu kepada anak bongsu kembar itu.
“Isteri saya terkejut mendapati muka anak berubah dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya kemudian menghubungi ambulans sebelum disahkan anak sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba selepas itu,” katanya ketika ditemui di HSAH, di sini hari ini.
Muhammad Darwisy yang mempunyai masalah jantung merupakan kembar kepada Dhiya Dinara.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin Taman Ria, di sini untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria untuk dikebumikan.
Baddrol dan isteri mempunyai dua lagi anak perempuan iaitu Dhiya Daniya, 4, dan Dhiya Delisha, 9. – KOSMO! ONLINE