PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
“MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.
“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hari ini, penyampai segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Mereka tiba pada pukul 10.30 pagi dan meninggalkan Bukit Aman pukul 1.10 tengah hari dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna hitam.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kepada media yang menunggu di pekarangan Bukit Aman sejak pagi.
Selain tiga deejay program itu, tiga lagi individu yang memberi keterangan adalah kakitangan Era FM.
Sebelum ini, trio penyampai radio itu memohon maaf berhubung video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video itu yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan-rakan yang lain.
Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut agama lain. – KOSMO! ONLINE