fbpx

Malaysia cipta sejarah dalam dunia semikonduktor – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Ekskutif ARM, Rene Haas (dua kanan) pada gimik Pelancaran Silicon Vision 2025 Kerjasama Strategik Malaysia - Peneraju Global Semikonduktor Bagi Pembangunan cip Kecerdasan Buatan (AI) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi antara negara yang menerajui hab pengeluaran semikonduktor di peringkat dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain pemasangan dan ujian, Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang dilancarkan tahun lalu juga mengutamakan reka bentuk cip serta peralatan pembuatan semikonduktor.

Ujarnya, di bawah NSS juga, Malaysia sudah pun menjadi hab pembungkusan cip dan proses permulaan bagi mengembangkan peranan negara di peringkat global rantaian semikonduktor.

“Malaysia catat satu lagi sejarah dalam dunia semikonduktor. Kerajaan menjadikan semikonduktor sebagai keutamaan negara dan menjadi sumber penting serta strategi jangka panjang untuk memacu transformasi ini.

“Hari ini, kerjasama Malaysia bersama syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), ARM Holdings Plc merupakan permulaan gelombang kedua industri semikondutor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Malaysia-Peneraju Global Semikondutor Bagi Pembangunan Cip Al, di sini, hari ini.

Tambah Anwar lagi, melalui kerjasama bersama ARM Holdings juga, Malaysia berharap untuk merintis pembuatan cip (kecerdasan buatan) AI Malaysia.

“Cip ini akan menjadi direka, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini (Malaysia) dan dijual ke seluruh dunia.

“ARM Holdings Plc juga menubuhkan pejabat ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur. Saya berterima kasih atas kepercayaan pengurusan kanan ARM Holdings Plc terhadap negara kami,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata, Malaysia akan membayar sebanyak AS$250 juta (RM1.12 bilion) kepada ARM Holdings Plc untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.

Malaysia juga dijangka menyasarkan eksport semikonduktor sebanyak RM1.2 trilion menjelang 2030 dan mempercepatkan matlamat menghasilkan cip sendiri dengan sokongan ARM Holdings Plc.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengingkatkan seluruh ekosistem negara untuk melakukan persiapan dari segi latihan dan kemudahan supaya seiiring dengan perubahan ke arah hab semikonduktor ini.

Beliau berkata, seluruh jentera kerajaan termasuk universiti, pusat pendidikan, institusi, agensi sains, harus dikerahkan bagi mempersiapkan golongan muda untuk memanfaatkan syarikat semikonduktor gergasi ini.

“Saya ambil kesempatan ini juga, untuk mengingatkan bahawa persiapan bukan sahaja dari seluruh ekosistem, tapi latihan, segala kemudahan yang mungkin harus dikerahkan untuk kita laksanakan perubahan ini.

“Apa yang kita tekankan adalah keperluan semua pihak harus digerakkan dan dikerahkan untuk pastikan anak-anak kita mempunyai latihan yang cukup dari segi kelayakan, keterampilan, kemahiran dalam memanfaatkan syarikat semikonduktor gergasi seperti ARM Holdings Plc,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI