PETALING JAYA – Seorang rider berdepan pengalaman seram apabila terpaksa menghantar makanan di sebuah rumah pada tengah malam, namun penghuninya pula dikatakan ghaib.
Kisah tersebut dikongsikan melalui tangkap layar di akaun Tik tok milik @ak_y150, yang bertukar cerita dengan rakannya mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, ‘tuan rumah’ tersebut meninggalkan nota di dalam aplikasi pesan makanan apabila sudah sampai.
“Dik, nanti letak sahaja depan rumah lepas itu jangan lupa tekan loceng ye,” nota penghuni tersebut.
Rakan rider tersebut turut memberitahu jika ingin melihat sosok itu keluar mengambil makanan yang dipesan, dia hanya perlu tunggu beberapa ketika.
“Kalau kau tunggu lama sikit, nanti ada macam seorang nenek keluar ambil tau, cuma nak pesan jangan pandang mata dia atau bercakap dengan dia,” nasihat rakannya.
Namun reaksi netizen di ruangan komen tidak kurang buat kering gusi apabila kebanyakannya merasakan kisah tersebut tidak masuk akal.
“Tiada ke penjelasan secara saintifik dan logik benda ghaib boleh menggunakan teknologi?,” komen @matchalatte. – KOSMO! ONLINE