KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diburu selepas disyaki menipu berkaitan urusan menjual supercar Lamborghini Aventador S bernilai RM2.4 juta sejak 2020.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan pada 19 Februari lalu.
“Menurut pengadu, pada Jun 2020, kenalannya, Lim Voi Heng (suspek) menawarkan untuk membeli kereta Lamborghini Aventador S berharga RM2.4 juta.
“Pengadu berjumpa suspek beberapa kali dan turut memandu uji kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran di Puchong, Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Selain itu, mangsa turut ditunjukkan borang import kastam bagi membuktikan kenderaan yang ingin dibeli mangsa diimport masuk ke Malaysia.
“Bermula pada 15 Jun 2020, pengadu melakukan sebanyak 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat seperti yang diarahkan oleh suspek.
“Pada Januari 2022, pengadu menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan kereta yang ingin dibelinya,” katanya.
Jelas Ramli, suspek berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik supercar tersebut.
“Sehingga kini, mangsa tidak menerima kereta yang dijanjikan, malah suspek juga menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.
“Bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, pegawai penyiasat sedang mengesan Lim Voi Heng yang beralamat di No. 703, Pangsapuri Sri Indah, Jalan Sungai Besi Indah 2, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.