NEW DELHI – Seorang lelaki menerima pampasan lebih 17,423 rupee (RM890) daripada pengurusan sebuah pawagam di India kerana menayangkan terlalu banyak iklan sebelum tayangan filem bermula, lapor agensi berita United Press International semalam.
Abhishek M R, 31, menyaman pawagam PVR INox selepas tidak berpuas hati dengan pengalamannya ketika menonton filem Sam Bahadur pada 26 Disember 2023.
“Filem itu seharusnya tamat pada pukul 6.30 petang (waktu tempatan) tetapi ia ditangguhkan sehingga 7 malam (waktu tempatan).
“Filem itu juga didahului oleh dua pengumuman perkhidmatan awam serta 17 iklan, menyebabkan saya terlepas daripada panggilan kerja yang telah dijadualkan,” kata Abhishek.
Menurut Abhishek, dia menuntut pampasan sebanyak 47,650 rupee (RM2,400) untuk perdagangan tidak adil, 4,966 rupee (RM250) bagi gangguan mental serta 10,018 rupee (RM510) bagi kos guaman.
Suruhanjaya Penyelesaian Pertikaian Pengguna Bengaluru membenarkan Abhishek menerima pampasan 20,907 rupee (RM1,100) dan 8,015 rupee (RM410) untuk kos guaman.
“Masa dianggap sebagai wang dan sangat berharga. Duduk sambil menonton iklan yang tidak diperlukan selama 20 hingga 30 minit adalah lama.‘
“Orang yang memiliki jadual padat tidak ada masa untuk dibazirkan,” tambahnya. – AGENSI