KUALA LUMPUR – Kerjasama yang terjalin antara Ezcare Warranty Sdn. Bhd. (Ezcare) dengan Generali Insurance Malaysia Berhad (Generali Insurance) akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia jaminan kenderaan selepas jualan yang terkemuka di negara ini.
Ezcare adalah syarikat bumiputera yang menyediakan jaminan kenderaan khususnya kepada kenderaan import terpakai dan kenderaan terpakai termasuk motosikal berkuasa tinggi, supercar, hibrid dan juga kenderaan elektrik (EV).
Pengarah Operasi Ezcare, Amirul Akmar berkata, dengan termeterainya memorandum persefahaman antara dua syarikat tersebut, Ezcare kini berada dalam kelasnya tersendiri yang mampu meningkatkan keyakinan pelanggan sekali gus boleh merancang kepada pelan pengembangan perniagaan pada masa depan.
“Di pasaran masa kini terdapat banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan jaminan kenderaan selepas jualan tetapi ia tidak disokong oleh sebuah syarikat insurans yang kukuh, jadi dengan kerjasama ini, ia akan memberi ketenangan kepada pelanggan agar mereka tidak meragui lagi perkhidmatan yang ditawarkan.
“Dengan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan lebih berinovatif ini, ia menjadi satu nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada dan juga ia akan membolehkan kami merancang pelan pengembangan untuk meneroka pasaran korporat pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian MoU tersebut yang turut diwakili oleh Pengarah Urusan Ezcare, Ahmad Yusuf dan juga Ketua Pegawai Insurans, Generali, Gurudutt Joglekar di sini baru-baru ini.
Amirul menerangkan, perbincangan antara dua pihak itu telah bermula sejak lebih setahun lalu dan pihak Generali mengambil masa untuk membuat kajian terperinci tentang latar belakang dan pengoperasian syarikat sejak ia mula beroperasi tahun 2016.
Tambah beliau, bersandarkan kejayaan dan penguasaan pasaran yang besar dimiliki Ezcare, telah memberi ruang dan peluang kepada Generali untuk memuktamadkan perbincangan sekali gus bersetuju menyokong syarikat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri ini.
Melalui kerjasama tersebut, setiap program jaminan kenderaan di bawah Ezcare akan disokong dan dijamin oleh Generali seterusnya bakal mengukuhkan pakej pelan-pelan jaminan syarikat pada masa depan.
Tambah Amirul, usaha ini adalah selaras dengan visi syarikat untuk menawarkan perlindungan jaminan kenderaan yang lebih berkualiti. -KOSMO! ONLINE