PETALING JAYA – Perdana Menteri akan meluncurkan satu kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat yang berpengkalan di United Kingdom, yang bakal mengubah landskap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia itu adalah hasil inisiatif Kerajaan Madani melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.
“Perdana Menteri melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.
“Dengan termetrainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Katanya, Malaysia juga menjadi negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya.
“Kerjasama ini membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan.
“Ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara,” katanya.
Katanya, peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan Madani dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia.- KOSMO! ONLINE