ROMPIN – Jabatan Imigresen akan melakukan pemantauan di kesemua bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan tiada warga asing yang berniaga di bazar-bazar Ramadan seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, setakat ini bazar Ramadan di negeri ini bebas daripada peniaga warga asing.
“Pihak Jabatan Imigresen telah menghantar surat kepada majlis daerah minta senarai bazar Ramadan di seluruh negeri untuk mereka membuat pemantauan dengan kerjasama pejabat daerah.
“Di Pahang kita tidak benarkan (peniaga asing berniaga di bazar Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan peringkat negeri Pahang di sini hari ini.
Menurut Razali, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan bazar Ramadan di negeri ini selamat dan sentiasa bersih demi keselamatan orang ramai.
Katanya, setiap peniaga terbabit juga perlu mengikuti peraturan ditetapkan termasuk mendapatkan suntikan typhoid dan sentiasa mengamalkan kebersihan dalam penyediaan dan penjualan makanan.
Dalam pada itu beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 3,970 premis bazar Ramadan diwujudkan di seluruh negeri melibatkan 80 lokaliti.
“Ada peningkatan dalam jumlah premis bazar Ramadan dan ini menunjukkan ekonomi semakin pulih selepas pandemik Covid-19, peniaga bertambah dan pengunjung pun bertambah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE