KOTA BHARU – Hukuman yang bakal diterima oleh penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakan yang didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda akan ditentukan di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand esok.
Keputusan itu akan ditetapkan oleh hakim mahkamah tersebut selepas empat bulan Eda Ezrin, dan suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, ditahan reman di Penjara Wilayah Narathiwat.
Sebelum ini, Eda bersama lima lagi rakyat Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 14 Januari lalu.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara itu.
Berdasarkan maklumat, kesalahan bagi pertuduhan memiliki lebih 6,000 pil kuda boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda sebanyak 200,000 baht bersamaan RM25,880.
Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai ‘Nabila’, ‘Mek Jue’, ‘Mek Da’ dan ‘Sirik’ masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.

“Pada awalnya, Nabila dan Mek Ju masuk ke bilik saya kira-kira pukul 3 pagi. Selepas berbual, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit.
“Saya nampak Mek Ju bawa beg galas berwarna biru semasa masuk ke dalam bilik air. Selepas itu, Nabila dan Mek Ju keluar dan meninggalkan bilik saya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam.
Eda Ezrin dalam keterangannya turut berkata, dua lagi individu yang dikenali sebagai Sirik dan Mek Da masuk ke dalam biliknya tidak lama selepas itu.
Menurutnya, dia melihat Mek Da masuk ke dalam bilik air manakala Sirik berbual-bual dengannya.
“Selepas Mek Da keluar dari bilik air, dia dan Sirik terus meninggal bilik saya. Kira-kira 10 minit kemudian, polis terus menyerbu bilik saya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin merupakan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama 6,059 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.
Mereka ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Mahkamah Wilayah Narathiwat kemudian memerintahkan tahanan reman sehingga tiga bulan atau 84 hari ke atas Eda, Mohd. Affendi, Eridieka, Mohamad Alif, Nur Aida, dan Zuhaira. – KOSMO! ONLINE