CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik sebuah stesen radio Era FM.
MCMC berkata, susulan kes tersebut, pihaknya telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.
“Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Jelas MCMC, Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio Era FM.
“Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.
Hari ini, penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Mereka tiba sekitar pukul 10.30 pagi dan meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis pada 1.10 tengah hari menaiki Toyota Vellfire hitam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut beredar. – KOSMO! ONLINE