CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima izin Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap.
MCMC berkata, tindakan kompaun itu atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook, pada 18 Januari 2025.
“Ia dibuat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
“Selepas menerima permohonan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.
Jelasnya, permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta. – KOSMO! ONLINE