PETALING JAYA – Kerajaan memutuskan mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 5 sen kepada RM3.38 seliter bagi tempoh esok hingga 12 Mac ini.
Bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga turun sebanyak 5 sen kepada RM3.13 seliter seiring perubahan harga pasaran minyak.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Penetapan harga runcit produk petroleum menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada paras RM2.15 seliter,” katanya hari ini.
Ujar MOF, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE