PETALING JAYA – Grab Malaysia hari ini mengumumkan pembaharuan penting bagi program GrabBenefits, mengukuhkan komitmennya terhadap kebajikan rakan-pemandu dan rakan-penghantar.
Naik taraf program yang dilancarkan pada tahun 2017 itu melibatkan pelaburan lebih daripada RM10 juta bagi mewujudkan sistem sokongan yang lebih holistik dan bersepadu.
Pengarah Urusan, Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, pembaharuan program GrabBenefits mengesahkan semula komitmen syarikat terhadap kebajikan rakan-pemandu dan rakan-penghantar.
“GrabBenefits bertujuan memastikan kebajikan rakan-pemandu dan rakan-penghantar kami ketika mereka bekerja untuk menjana pendapatan di Grab.
“Perubahan ini menggabungkan semua inisiatif di bawah satu pengurusan dan kami akan melabur lebih daripada RM10 juta untuk program tersebut pada tahun ini,” katanya.
Faedah program GrabBenefits 2.0 yang dipertingkatkan dirangka berdasarkan maklum balas daripada rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab.
Ia secara strategik mengintegrasikan penyelesaian kewangan sedia ada dan inisiatif komuniti, menunjukkan dedikasi Grab dalam menyokong rakannya lebih daripada sekadar menjana pendapatan.
Perubahan utama termasuk pengembangan tonggak, yang mana program GrabBenefits telah berkembang daripada tiga kepada lima tonggak merangkumi Insurans, Takaful & Perlindungan Sosial; Tawaran Harian; Akademi; Penyelesaian Kewangan Gig; dan Komuniti.
Sementara inisiatif utama GrabBenefits tahun ini termasuk kesinambungan fasilitasi dan penajaan separa PERKESO SPS Gig; peluang peningkatan kemahiran melalui kerjasama dengan badan kerajaan dan institusi pendidikan; pengubahan Grab Driver Centres untuk menjadi hab latihan dan komuniti; serta sokongan khusus untuk Rakan Grab wanita dan OKU.
Pengumuman GrabBenefits 2.0 yang dipertingkatkan dibuat pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini, di mana lebih daripada 120 rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab wanita menikmati rundingan kecergasan dan kesejahteraan wanita secara percuma daripada beberapa rakan korporat Grab seperti Curves, Audiolab, dan Joliewen.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Dr. Noraini dalam ucapannya berkongsi, beliau pernah memuji Grab atas usahanya menjadikan platformnya lebih inklusif untuk wanita tahun lalu dan sejak itu, Grab terus meningkatkan sokongannya dengan memperkukuh langkah keselamatan, memupuk komuniti yang menyokong, dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita berkembang maju dalam ekonomi gig.

“Saya juga gembira melihat pelaburan berterusan Grab dalam GrabBenefits untuk semua Rakan Grab, mengembangkannya dengan tonggak baharu untuk memberikan sokongan yang lebih holistik.
“Komitmen berterusan ini menetapkan contoh yang kukuh bagaimana platform boleh memainkan peranan dalam memajukan keterangkuman.
“Ketika kita terus memacu kemajuan dalam ekonomi digital, kerjasama bermakna antara sektor awam dan swasta memainkan peranan yang amat penting. Melalui usaha kolektif, kita boleh mendorong perubahan yang berkekalan dan juga memperkasakan wanita dalam ekonomi,” katanya.
Memperkasakan Wanita di platform
Sementara itu, program #SisBoleh oleh Grab Malaysia telah mencapai kejayaan yang ketara, dengan peningkatan 70 peratus dalam Rakan Grab wanita yang menyertai platform secara aktif sejak pelancarannya pada Mac 2023.
Perkembangan itu menunjukkan keberkesanan program berkenaan dalam tonggak utamanya iaitu Safety, Onboarding & Training, dan Community, yang secara langsung mencerminkan komitmen kukuh Grab terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan ekonomi wanita.

Peningkatan keselamatan popular seperti ciri ‘Women Passengers Preferred BETA’ dan Audio Protect yang mencatat kadar penyertaan 70 peratus telah diterima dengan baik.
Tambahan pula, penyediaan program latihan khusus yang memberi tumpuan kepada literasi kewangan dan pertahanan diri telah memberikan sokongan nyata kepada Rakan Grab wanita, serta menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat dan teguh.
“Dengan perkembangan industri terkini, ini adalah masa yang tepat untuk kami memperbaharui program kami bagi memastikan faedah yang ditawarkan kepada komuniti Rakan Grab kami adalah bermakna dan relevan.
“Kami berharap faedah yang dipertingkatkan ini akan menawarkan pakej holistik untuk yang meliputi keperluan segera dan jangka masa panjang mereka,” tambah Adelene.
Untuk maklumat lanjut mengenai GrabBenefits, sila klik DI SINI. – KOSMO! ONLINE