fbpx

Gaji RM1: Kes saman fitnah Anwar terhadap MP Kuala Terengganu selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Amzad, Anwar

KUALA LUMPUR – Kes saman difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi.

Perkara itu disahkan oleh peguam Anwar, Datuk S.N. Nair dalam satu kenyataan kepada pihak media hari ini.

Penyelesaian itu berikutan Anwar menarik balik saman fitnah berkenaan selain Ahmad Amzad menarik balik kenyataannya.

Berikutan itu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani kemudian merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi tindakan saman sivil tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak-pihak telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.

Kenyataan awam itu berbunyi: “Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian”.

Rentetan itu, Ahmad Amzad menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya pada 7 Disember 2022, manakala Anwar menarik balik saman sivil berkenaan tanpa kos.

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah serta berharap keputusan itu diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian negara.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Disember 2022, Anwar selaku plaintif mendakwa, pada 7 Disember tahun sama, Ahmad Amzad sebagai defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi, serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa, kerana beliau menentang rasuah.

Beliau mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI