LONDON – Pasukan Red Bull mengakui sesi ujian pramusim Formula Satu (F1) di Bahrain tidak berjalan lancar seperti yang dijangka sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kepantasan sebenar mereka.
Sepanjang ujian tiga hari yang bermula pada 26 Februari itu, Red Bull mencatat jumlah pusingan paling sedikit, tetapi Max Verstappen merekodkan masa kedua terpantas pada hari terakhir di belakang pelumba Mercedes, George Russell.
Bagaimanapun, jentera RB21 sering berada di garaj ketika Red Bull melakukan perubahan teknikal, selain mengalami kegagalan beberapa komponen pada hari kedua ujian.
Verstappen dan rakan sepasukan, Liam Lawson juga tidak sempat melengkapkan simulasi perlumbaan penuh, yang sepatutnya menjadi petunjuk utama mengenai kelajuan sebenar Red Bull.
“Apa yang boleh saya katakan ialah bukan ujian yang lancar seperti yang kami jangkakan. Namun, lebih baik kami mengesan masalah ini sekarang berbanding ketika musim bermula.
“Tujuan kami di sini adalah untuk memahami kereta ini dengan baik,” kata Pengarah Teknikal Red Bull, Pierre Wache.
Verstappen mengakui bahawa masih ada ruang untuk pasukannya melakukan penambahbaikan sebelum perlumbaan sebenar menjelang aksi Grand Prix (GP) Australia yang membuka tirai pada 14 hingga 16 Mac ini.
“Hari terakhir ujian agak baik, walaupun ada beberapa masalah kecil. Secara keseluruhan, kami berjaya menyelesaikan banyak perkara yang dirancang,” ujarnya. – AGENSI