fbpx

Dua tauke kedai didenda RM1,500 jual bingkai hiasan ada kesilapan ayat al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laikathali (kanan) dan Wan Zuraini (dua dari kiri) semasa tiba untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kuala Krai hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KUALA KRAI – Dua pemilik kedai masing-masing didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjual bingkai hiasan yang mengandungi kesilapan ayat al-Quran pada tahun lalu.

Tertuduh, Laikathali Sharif, 64, yang merupakan pemilik Shahid Berkat Enterprise, dan pemilik Mg Maju Trading, Wan Zuraini Abd. Rahim, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, Laikathali didakwa memiliki 24 bingkai hiasan al-Quran pelbagai saiz dan empat unit muslim zikir pembesar suara ‘plug-in’ yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Wan Zuraini dituduh memiliki lima bingkai hiasan al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah premis di Jalan Ah Seng di sini kira-kira pukul 11 pagi pada 26 Ogos 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim dan Mohd. Runaim Sulaiman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizah Hanapi.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Amal Razim menegur supaya Laikathali dan Wan Zuraini lebih peka dan berhati-hati sebelum membeli barangan berkaitan percetakan ayat al-Quran.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM1,500 kepada kedua-dua tertuduh dan penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut. Laikathali dan Wan Zuraini membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI