KOTA BHARU – Cubaan dua rakyat Malaysia untuk menyeludup sebanyak 6,000 biji pil kuda dengan membawa sepucuk pistol dan peluru sebagai senjata api untuk mempertahankan diri tidak kesampaian apabila mereka dicekup di Sungai Golok, Thailand kelmarin.
Suspek yang bekerja sebagai pemotong ikan berusia 19 tahun dan rakannya merupakan penjual pulut berusia 23 tahun ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam di sebuah jalan di daerah Charoen dekat Sungai Golok.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, pemeriksaan terhadap kereta yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan sebanyak 6,000 biji pil kuda.
Menurutnya, selain itu, polis turut menjumpai sepucuk pistol jenis Baretta, satu magazine dan lapan butir peluru bersaiz sembilan milimeter.

“Siasatan awal mendapati, mereka memiliki lebih daripada satu biji pil kuda dan dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah.
“Suspek yang pertama didapati memiliki senjata api dan peluru dalam milikan tanpa kebenaran. Selain itu, suspek juga dipercayai masuk ke Thailand secara haram tanpa melalui pusat pemeriksaan, zon, stesen atau imigresen seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jadsadavit memberitahu, suspek kedua pula didapati memiliki kesemua dadah tersebut secara haram dan juga dipercayai masuk ke negara tersebut tanpa kebenaran.

Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua dadah itu dipercayai akan diseludup masuk ke Malaysia
Tambahnya, kedua-dua suspek telah ditahan untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE