EINDHOVEN – Pengendali PSV Eindhoven, Peter Bosz mengakui pasukannya sudah boleh mengibarkan bendera putih selepas tewas 1-7 kepada Arsenal dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Pada aksi tersebut, PSV merekodkan kekalahan terbesar dalam sejarah kelab di peringkat Eropah dengan membiarkan The Gunners meledak tujuh gol dan hanya meraih jaringan sagu hati menerusi sepakan penalti Noa Lang.
Menurut Bosz, barisan pemain ternyata tidak bersedia untuk mengharungi perlawanan kompetitif berbanding Arsenal yang mempamerkan kelas tersendiri dalam aksi di Stadium Philips itu.
“Kita hanya ada dua peluang pada babak pertama yang mana satu terkena palang dan satu lagi menerusi gol sepakan penalti. Selepas itu, kami hanya bertahan dan tidak berada pada tahap terbaik.
“Pujian wajar diberikan kepada Arsenal kerana mempamerkan corak permainan hebat, manakala pasukan kami hanya beraksi di bawah tahap sebenar,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah PSV, Guus Til mengakui pasukan terpaksa membayar harga mahal selepas tidak beraksi dengan konsisten sejak beberapa minggu lalu termasuk dalam saingan domestik.
“Jelas prestasi pasukan tidak berada pada tahap terbaik termasuk dalam saingan liga (Eredivisie). Mereka mempamerkan tahap permainan yang berbeza kerana setiap kali menyerang, mereka mampu menjaringkan gol,” katanya.
Biarpun masih ada aksi timbal balik di Stadium Emirates, London minggu depan, namun kelebihan 1-7 awal pagi tadi boleh diibaratkan perjuangan PSV sudah tertutup rapat untuk mara ke suku akhir. – AGENSI