KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memaklumkan, sehingga 31 Januari lalu jumlah baki Wang Tak Dituntut (WTD) yang direkodkan mencecah RM12.7 bilion.
Kementerian Kewangan memaklumkan bagi tuntutan WTD, individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di laman sesawang https://egumis.anm.gov.my/ atau hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di setiap negeri.
JANM mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan kepada pemilik atau waris, antaranya kempen kesedaran menerusi taklimat dan reruai yang dilaksanakan di program kerajaan dan swasta, seperti Program Madani Rakyat, hari terbuka dan hari pelanggan jabatan kerajaan serta di tempat awam.
“Ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan, sama ada mereka mempunyai wang yang masih belum dituntut. Kaedah semakan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS JANM atau kaunter JANM.
“Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh Malaysia untuk memaklumkan orang ramai mengenai kewujudan WTD dan kaedah menuntutnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Jawapan bertulis itu dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai jumlah terkini WTD dan proses menuntut wang itu serta langkah diambil kerajaan untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris mereka.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan, berkata JANM turut mengadakan taklimat secara dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah semakan dan tatacara permohonan tuntutan WTD.
Selain itu, turut dilaksanakan perluasan perkhidmatan Kaunter Semakan dan Bayaran Balik WTD dan hebahan berkala melalui saluran televisyen nasional. – KOSMO! ONLINE