KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 aduan berkaitan gajah dan 47 harimau menjadikan sebanyak 337 aduan konflik hidupan liar direkodkan Gua Musang, Kelantan bagi tahun lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menjalankan sebanyak 306 kali kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan-kawasan berisiko.
“Memasang 15 unit perangkap apabila kita terima aduan konflik harimau serta menjalankan 10 kali operasi tangkap-pindah yang melibatkan gajah.
“Pihak Perhilitan juga membina dua unit sistem pagar elektrik gajah di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Orang Asli Pos Aring 5 bagi mengelak kemasukan gajah liar ke kawasan penempatan dan kebun penduduk,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) ] yang ingin tahu apakah tindakan susulan akan diambil oleh kerajaan di Jajahan Gua Musang memandangkan beberapa orang telah dibunuh oleh gajah dan harimau kebelakangan ini di kawasan tersebut dan penduduk hidup dalam ketakutan selain banyak tanam-tanaman telah dirosakkan oleh gajah-gajah yang berkeliaran.
Dalam pada itu, Nik Nazmi juga turut menggalakkan penternak supaya membina kurungan ternakan yang lebih kukuh dan mengurus haiwan ternakan secara sistematik bagi mengurangkan risiko serangan haiwan liar.
Tambah beliau, menerusi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) akibat serangan hidupan liar yang diumumkan tahun lalu, sebanyak RM978,000 telah diagihkan kepada 246 pemohon yang terkesan. – KOSMO! ONLINE.