PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir hampir di setiap negeri seluruh Malaysia sehingga pukul 10 malam ini.
Menerusi kenyataan daripada MetMalaysia, negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Kedah amaran cuaca buruk dikeluarkan bagi daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling.
“Selain itu di Perak, kawasan yang berisiko diramal melanda daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat juga dijangka melanda beberapa daerah di negeri Kelantan iaitu Jeli dan Gua Musang, manakala daerah Dungun dan Kemaman di negeri Terengganu.
“Di Pahang pula, cuaca buruk diramalkan berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.
“Bagi Selangor hanya satu daerah diramalkan mengalami hujan lebat iaitu Hulu Selangor,” dalam kenyataan itu.
Hujan lebat dan angin kencang juga bakal melanda Sarawak di daerah Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit, Bintulu (Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
“Bagi negeri Sabah keadaan cuaca buruk dijangka melanda kawasan pedalaman termasuk Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Ranau) kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE