KUANTAN – Belum dapat pinjaman sebanyak RM60,000 yang dipohon, namun seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM105,311.72 akibat terperdaya dengan skim pinjaman tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Maran pada bulan lalu itu bermula selepas mangsa yang merupakan wanita berusia 61 tahun melihat iklan pinjaman wang di aplikasi Google atas nama sebuah syarikat.
Katanya, mangsa telah klik satu pautan yang membawa mangsa berhubung kepada individu tidak dikenali di aplikasi WhatsApp yang mengaku sebagai ejen daripada syarikat terbabit.
“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM60,000 dan menyerahkan maklumat peribadi seperti gambar kad pengenalan dan penyata pencen dan selepas itu mangsa dimaklumkan bahawa pinjaman telah diluluskan.
“Pada 8 Februari hingga 26 Februari mangsa diminta membuat pembayaran untuk menaikkan skor kredit’, Caj SST, insurans, ‘AKPK Test Payment’, pembaharuan perjanjian, bayaran penalti, cukai perkhidmatan kerajaan, ‘Cancellation Legal’ dan yuran pemprosesan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya mangsa kemudiannya telah membuat 35 kali transaksi ke 19 akaun berbeza berjumlah RM105,311.72,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, bagi mendapatkan ‘refund’, mangsa diminta membuat pembayaran lain dan diugut ditularkan gambar kad pengenalan mangsa di aplikasi Facebook dan menghantar pemungut hutang untuk menuntut hutang walaupun mangsa tidak pernah menerima sebarang pembayaran dari pihak ejen pinjaman wang tersebut.
Katanya, mangsa kemudiannya berasa tertipu oleh ejen pinjaman tersebut dan membuat laporan polis.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian sebanyak RM105,311.72 yang merupakan wang simpanan milik mangsa.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman dan membuat pinjaman di platform yang betul dan berdaftar bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE