MISI pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk mendapat gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut bakal menjadi realiti selepas Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 bakal dilangsung tidak lama lagi.
Debaran bagi ABK 24/25 yang bakal berlangsung pada April ini semakin dirasai selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan senarai 10 pemain terbaik bagi lapan kategori yang dipertandingkan musim ini.
Lapan kategori terbabit merangkumi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih terbaik dan Pemain Import Terbaik.
Dua kategori tambahan adalah Pemain Muda Terbaik dan Pemain Piala MFL Terbaik yang mula diperkenalkan pada edisi tahun lalu.
Arif Aiman yang berjaya meraih gelaran hatrik MVP ABK sebelum ini turut berada dalam senarai pendek calon 10 pemain tengah terbaik Liga Malaysia (Liga M) bagi edisi kali ini.
Pada edisi 2023, pemain berusia 23 tahun itu mendominasi empat lagi anugerah lain seperti Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga M 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatanbersama pemain Selangor FC, Faisal Halim.
Namun, Arif Aiman yang berjaya membantu skuad Harimau Selatan menjulang trofi Piala FA, Piala Sumbangsih dan Liga Super diramal menjadi pilihan utama untuk kekalkan status MVP kali ini.
Sebagai rekod, sebanyak 17 kategori anugerah dipertandingkan dengan satu kategori diperkenalkan semula iaitu Penyokong Terbaik menyaksikan anugerah buat penyokong terbaik pasukan yang memberi sokongan penuh sepanjang kempen Liga M musim ini.
Selain anugerah utama iaitu MVP, beberapa anugerah lain adalah termasuk ‘Fairplay Award’, Pasukan Terbaik, Gol Terbaik dan FAN XI (Kesebelasan utama pilihan penyokong).
Anugerah Kasut Emas pula menanti penjaring terbanyak dalam Liga Super, Piala MFL serta penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super.