HEBAT sebagai pengacara program popular dan acara mega, Sherry Alhadad serta teman seperjuangan Ain Edruce kali ini bergabung melengkapkan portfolio seni mereka ke sayap nyanyian.
Percubaan berani dua hos tersohor itu ditunjukkan menerusi duet lagu raya berjudul Balik Kampung…Gosip Raya yang sarat humor seperti sisi peribadi mereka.
Kejutan dilakukan sebagai mencabar diri meneroka cabang baharu dengan merakamkan lagu raya yang mengangkat tema unik mengenai budaya bergosip ketika perayaan.
Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Ferry Mariam Sri Karisma Syed Abdullah Al Hadad, 40, mengakui tidak mengambil masa lama menyahut pelawaan berpadu suara bersama Ain sebaik dilamar syarikat rakaman Sony Music.
“Ketika Sony Music menyatakan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu raya, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Prosesnya berjaya disempurnakan dalam tempoh sekitar sebulan.
“Paling lucu, apabila dengar semula rakaman suara, kami sendiri tidak boleh bezakan, ini suara Ain atau saya?
“Sehingga perlu bertanya pada komposer untuk pastikan. Nasib baik ada Afif Tirmizie yang bantu di studio rakaman,” katanya.
Kolaborasi sulung
Sementara itu, Ain pula tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja memandangkan kolaborasi merakamkan lagu raya adalah julung kali bersama sahabatnya itu.
“Walaupun kami bukan penyanyi profesional, tapi suasana sepanjang rakaman sangat menyeronokkan sampaikan proses jadi lancar.
“Kami juga harap lagu ini bukan sekadar hiburan, bahkan sebagai ‘wake-up call’ agar kita fokus menikmati hidangan berbanding sibuk bergosip tentang orang lain,” ujarnya.
Mengenai penceritaan Balik Kampung…Gosip Raya pula, situasi bergosip atau ‘membawang’ ketika bertemu saudara-mara atau kenalan yang sudah lama tidak berjumpa diterjemahkan Ain sekadar usikan.
“Situasi bergosip juga sebahagian daripada perkongsian kisah lucu yang boleh dikaitkan dengan kesempatan berhimpun beramai-ramai sama ada ketika di rumah atau bertandang ke kediaman orang.
“Pertanyaan bila nak kahwin hingga usikan nakal seperti nampak macam dah naik berat badan atau dengar cerita anak jiran dapat markah tertinggi, anak kamu macam mana’, perbualan sebegitu sering digelar ‘gosip’, tetapi hakikatnya, lebih kepada mengeratkan hubungan.
“Kegembiraan sebenar raya tercipta apabila gurauan ini kekal ringan dan menyeronokkan dipenuhi dengan kasih sayang, bukan rasa malu kerana masih berlandaskan rasa hormat dan kebersamaan,” katanya.
Diterbitkan Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama AEON bagi pembikinan muzik video, usahasama itu turut menonjolkan komitmen AEON dalam meraikan tradisi Syawal menerusi keindahan fesyen baju raya.
Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, pihaknya memilih bekerjasama dengan Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif.
“Kerjasama ini mengingatkan kita bahawa walaupun zaman berubah dari trend, gaya, hingga cara kita menyambut raya, namun intipati perayaan tetap sama berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bersama insan tersayang,” ujar Low Ngai Yuen.