fbpx

24 kompaun dikeluarkan, 18 sampel makanan diambil di bazar Ramadan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZALI (depan, dua dari kanan) melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Kuala Rompin selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan peringkat negeri Pahang di Rompin semalam.

ROMPIN – Hanya dalam tempoh dua hari Ramadan sebanyak 24 kompaun bernilai kira-kira RM2,400 telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang terhadap peniaga bazar Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, notis perlu hadir ke mahkamah itu melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan termasuk gagal memastikan kuku sentiasa pendek, memakai cincin dan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

“Daerah Maran merekodkan kesalahan terbanyak iaitu sebanyak sembilan kes diikuti Rompin sebanyak tujuh kes, Jerantut enam kes dan masing-masing satu kes di Kuantan dan Raub.

“Selain itu sebanyak 18 sampel makanan sedia dimakan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan peringkat negeri Pahang di sini semalam.

Menurut Razali, dalam operasi itu sebanyak 20 kesalahan yang dikesan melibatkan Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 dan empat kesalahan Peraturan 33 Akta Makanan 1983.

Katanya, mana-mana individu yang disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen yang sama.

“Sepanjang Ramadan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah akan terus melakukan operasi Ramadan yang melibatkan pemeriksaan gerai di bazar Ramadan dan pensampelan makanan sedia untuk dimakan di 80 lokaliti bazar Ramadan dengan jumlah premis makanan sebanyak 3,970 premis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan peniaga peka terhadap isu berkaitan keselamatan makanan, taklimat keselamatan makanan telah diadakan di setiap daerah melibatkan semua peniaga sebelum bazar Ramadan bermula.

Sepanjang tempoh operasi Ramadan dijalankan juga sebanyak 904 pendidikan kesihatan secara individu telah diberikan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan makanan.

“Sebanyak 1,000 risalah berkaitan keselamatan makanan semasa Ramadan telah diedarkan kepada pengunjung bazar Ramadan dan sebanyak 40 banner berkaitan keselamatan makanan juga dipasang di sekitar bazar Ramadan terpilih,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI