BERTITIK tolak daripada idea bahawa khazanah negara perlu dikongsi dengan khalayak, Luncai Emas Sdn. Bhd. dan World Business Affairs Sdn Bhd bekerjasama menghasilkan kompilasi 100 lagu Melayu terbaik dalam tempoh seabad menerusi projek 100 Lagu 100 Tahun.
Pencetus idea projek tersebut, Prof. Emeritus Datuk Seri Mohamad Mustafa Ishak berkata, dokumentasi sebegitu penting dalam mengumpulkan khazanah seni negara untuk diwarisi generasi masa depan.
Bermula daripada perbualan, idea kompilasi pada awalnya mahu merakam dan rekod seleksi dendangan dari awal tahun 1900 sehingga 2000 terutama lagu Melayu.
“Idea tercetus sebelum pandemik ketika saya bertugas sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Generasi muda harus tahu sejarah budaya bangsa dan masyarakatnya sendiri.
“Semua lagu yang diberi nafas baharu dibawa membabitkan ramai penyanyi popular agar dapat dinikmati pendengar,” katanya pada majlis pelancaran 100 Lagu 100 Tahun, baru-baru ini.

M. Nasir antara orang kuat dalam merealisasikan dokumentasi rakaman dan visual 100 Lagu 100 Tahun.
Bajet terhad
Sementara itu komposer dan pensyarah UUM yang juga ketua projek, Azmeer berkata, antara cabaran terbesar untuk menghasilkan semula lagu adalah pemilihan seleksi karya dan penyanyi yang sesuai.
“Cabaran memang ada kerana pemilihan lagu dan penyanyi, serta adunannya perlu dicantikkan. Kita ada panel diketuai saya. Contohnya, ada komposer yang tidak suka lagunya diubah terlalu banyak dari sudut gubahan seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.
“Jadi, saya tak berani ubah lagu diterbitkannya, kecuali lagu Penantian kerana Zubir Ali boleh bertoleransi dan menggalakkan kreativiti,” katanya.
Akui Azmeer juga, pasukannya turut berdepan kekangan bajet terhad, namun dana sedia ada perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menyempurnakan projek.
“Satu lagi cabaran adalah dari segi bajet. Saya diberi RM300,000 dan hasilkan satu lagu dengan kos RM10,000. Kami perlu bayar pelbagai kos, dengan kos yang terhad, boleh dibuat. Itu tak termasuk video muzik lagi.
“Datuk M. Nasir pun sanggup membantu menerusi syarikatnya Luncai Emas dengan gunakan bajet terhad demi merealisasikan 100 Tahun 100 Lagu.
Begitu juga kerjasama penyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Liza Hanim dan semua artis pun membantu kerana tak mengenakan harga tinggi demi kelestarian lagu-lagu Melayu,” ujarnya.
Penyanyi lain terlibat dalam projek berkenaan, termasuklah Sharifah Zarina, Kaka Azraff, Wany Hasrita, Bunga dan Lah Ahmad.