PETALING JAYA – Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dilantik sebagai Profesor Felo di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tempoh setahun, berkuat kuasa hari ini.
Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menyerahkan surat pelantikan itu dalam satu majlis di kampus Gombak, hari ini.
Menurut Osman, pelantikan ini diharap dapat memperkukuh kecemerlangan akademik UIAM serta menjadikannya peneraju dalam pembangunan etika kelestarian alam sekitar menurut perspektif Islam.
“Dengan pengalaman luas beliau dalam pengurusan pendidikan tinggi, Dr. Zaini akan memberikan khidmat nasihat dalam reformasi pendidikan, bukan sahaja di UIAM tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaini pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Gabenor (BOG) UIAM (2013-2016, 2024-2025) dan merupakan sarjana pertama menyandang jawatan Profesor Felo UIAM.
Beliau juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termuda pada usia 43 tahun serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di beberapa kementerian utama. – KOSMO! ONLINE