PETALING JAYA – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghulurkan sumbangan kepada seorang warga emas, Mazanah Hashim yang menjaga cucu orang kurang upaya (OKU) di Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Sumbangan berbentuk wang tunai semasa lawatannya ke rumah Mazanah bagi tujuan meringankan beban keluarga berkenaan.
“Beban hidup yang dipikulnya amat berat dan saya hadir bukan sekadar untuk menyantuni, tetapi juga untuk membantu mengeluarkan beliau daripada kelompok miskin tegar,” kata Ahmad Farhan dalam catatan menerusi Facebooknya.
Tambah beliau, kerjasama Zakat Pulau Pinang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan susulan akan terus disampaikan lagi bagi memastikan wanita berkenaan bebas dari menghadapi kemiskinan tegar.
“Saya berharap dengan ikhtiar ini, Puan Mazanah dan keluarganya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, tanpa lagi dihimpit kesusahan. Semoga masa depan mereka lebih terjamin dan dipermudahkan segala urusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE