SHAH ALAM – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian wanita warga Jepun yang maut terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, dekat sini pagi Jumaat lalu adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh, Ridzokumura.
Bagaimanapun, pihak polis memberitahu tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Menurut Hussein, siasatan tetap dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek.
Katanya, ketika ini kes itu diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).
“Walaupun di bawah SDR, proses siasatan tetap sama seperti biasa dan kita akan melihat sebarang kemungkinan sama ada unsur jenayah atau tindakan mangsa itu sendiri.
“Jika terdapat bukti atau saksi yang menunjukkan wujud unsur jenayah, kita akan mengklasifikasikan semula kes mengikut kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang ini.
Tambah Hussein, pihak kedutaan Jepun dan keluarga mangsa di negara itu turut telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif tanpa mengetahui kesahihan maklumat. – KOSMO!ONLINE