KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) akan melalui tempoh percubaan pengoperasian pada 15 Mac depan dengan pelaksanaan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan menurunkan penumpang itu akan mengambil masa selama satu minggu sebagai percubaan sebelum orang ramai boleh mula menaiki bas dari stesen tersebut pada minggu kedua.
“Harapan dan juga sasaran kita ialah menjelang musim Hari Raya Aidilfitri nanti, iaitu pada penghujung bulan Mac, yang nak balik kampung boleh menggunakan terminal ini sebagai ‘gateway’ untuk mengambil bas ekspres untuk balik kampung.
“Itu harapan kita sebab kita nak pastikan supaya boleh mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS),” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan Kunjungan Kerja di TBG di sini hari ini.
Selain itu, Anthony berkata, pihaknya turut meninjau ketersambungan antara terminal tersebut dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Stesen LRT bersebelahan dengan bangunan ini, jadi memang ada connectivity (ketersambungan) tetapi kita belum berpuas hati.
“Kita minta ditambah baik lagi untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Mana-mana kawasan yang ada jarak, bahagian bumbung yang tak bertutup sepenuhnya, kita minta mereka tutup termasuk longkang-longkang bagi memastikan keselamatan untuk pengguna dan juga Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Katanya, pihaknya juga menekankan kepentingan ciri-ciri keselamatan untuk OKU di semua stesen-stesen pengangkutan.
“Untuk TBG ini, terdapat beberapa platform yang direka khas untuk OKU bagi memudahkan pergerakan mereka naik dan turun bas.
“Saya difahamkan ada satu ciri yang penting dalam TBG ini. Apabila mereka membeli tiket, jika mereka seorang OKU, mereka perlu nyatakan maka bas akan diletakkan di platform yang dikhaskan untuk OKU,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya berharap TBG akan menjadi satu hub pengangkutan awam utama untuk Lembah Klang selain daripada TBS.
“Terminal ini ada konsep satu terminal bersepadu, ia bukan sahaja kemudahan untuk mengambil ataupun turun daripada bas. Tetapi, konsep utama ini ialah ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, ada banyak kedai runcit, restoran dan sebagainya.
“Saya difahamkan juga bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan Dewan Serbaguna. Maksudnya orang ramai boleh menyewa Dewan Serbaguna di sini selain ada juga ruang untuk majlis perkahwinan,” katanya. – KOSMO! ONLINE