PETALING JAYA – Penyampai radio segmen 3 Pagi Era tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikecam memuat naik konten yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India dan penganut agama Hindu baru-baru ini.
Ketiga-tiga penyampai tersebut iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin membuat permohonan maaf dalam sebuah video yang dikongsikan dalam akaun media sosial radio nombor satu negara itu.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik dalam akaun media sosial Era baru-baru ini berhubung aksi kami yang kurang mengenangkan dan telah pun menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat-sahabat kami yang berbangsa India.
“Kami juga akui kesilapan kami dan kekhilafan kami. Kami juga akan pastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
“Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen dan kritikan untuk memperbaiki lagi diri kami. Sekali lagi kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan kami yang kami lakukan tanpa sedar,” kata mereka dalam video berkenaan.
Terdahulu, video konten 3 Pagi Era yang mempamerkan aksi ritual perayaan Thaipusam telah menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Susulan itu, Timbalan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk Seri M. Saravanan mengeluarkan kenyataan menggesa Era FM untuk membuat permohonan maaf kerana memuat naik kandungan yang menyentuh sensitiviti agama.
Beliau turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap stesen radio berkenaan. – KOSMO! ONLINE