KUALA LUMPUR – Kelonggaran berlebihan dalam pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menghukum pencarum apabila mereka beransur tua dan bersara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan membuka ruang secara luas bagi pencarum mengeluarkan simpanan masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu melakukan keseimbangan antara menyelesaikan masalah mendesak dengan kadar yang segera atau menghukum para pencarum ketika bersara.
“Prinsip yang saya pegang dari awal dulu ketika berpuluh tahun saya jadi Menteri Kewangan, tak ada kelonggaran berlebihan kerana prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua.
“Adakala beberapa kecualian diberikan dimana banyak kes-kes rayuan diberi pertimbangan khas misal kata dalam keadaan keuzuran dan sebagainya. Tapi membuka ruang yang terlalu luas, kita akan menghukum mereka beransur tua dan bersara,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai pertimbangan bagi pencarum KWSP yang berhenti atau dihentikan kerja mengeluarkan caruman secara bersasar.
Tambah Anwar lagi, KWSP menerusi siri kenyataan sebelum ini menjelaskan majoriti pencarum, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu memiliki simpanan sangat kecil.
“Ini akan datangkan masalah dalam beberapa tahun lagi mereka bersara. Malah, bila pencarum lihat (kadar) dividen 6.3 peratus, dia faham simpanan ini akan memberi hasil lumayan kepada mereka kelak.
“Justeru, KWSP boleh berikan pertimbangan sekiranya keadaan mendesak,” katanya. – KOSMO! ONLINE