HARRISBURG, PENNSYLVANIA – Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (USFWS) mengingatkan pemilik haiwan peliharaan supaya tidak melepaskan ikan emas ke dalam tasik dan habitat liar lain selepas penyelidik-penyelidik di negeri Pennsylvania menemui spesies ikan emas ‘megalodon’, lapor agensi berita United Press International.
USFWS berkata, penyelidik di bandar Presque Isle, Corey Ketchum menemui ikan emas raksasa yang lebih besar daripada saiz tangannya.
“Ikan emas yang anda beli dari kedai haiwan selepas dua tahun menghuni alam liar, sekarang menjadi Megalodon’,” kata USFWS dalam hantaran di laman sosial.
Tambahnya, ikan emas adalah spesies invasif, di mana ikan itu boleh mengubah tasik dan kolam menjadi keruh, mencuri makanan daripada ikan asli dan merosakkan kualiti air.
“Seekor ikan emas mungkin tidak kelihatan seperti masalah besar tetapi ia membiak dengan cepat.
“Ikan emas bertelur beberapa kali dalam satu musim dan disebabkan ikan ini tidak mempunyai pemangsa semula jadi di kebanyakan perairan Amerika Utara, populasinya meledak,” kata USFWS. – AGENSI