GEORGE TOWN – Projek Pakej Dua yang menghubungkan Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dijangka siap menjelang 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek yang menelan kos RM851.04 juta itu berjalan lebih pantas daripada jadual asal.
Katanya, kemajuan pembinaan yang kini sudah mencapai 73 peratus setakat 28 Februari mencerminkan pelaksanaan cekap serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan.
“Setakat ini, kami berpuas hati dengan kemajuan projek ini. Kami sedang memasang beberapa rasuk di Jalan Sultan Azlan Shah, dengan setiap satu seberat 140 tan.
“Sebanyak enam rasuk akan dipasang di kawasan ini, dengan tiga rasuk menyokong setiap sisi laluan,” katanya selepas melakukan lawatan tapak di Gelugor di sini semalam.
Projek Pakej Dua itu dikendalikan oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) dengan pelaksanaannya diserahkan kepada Consortium Zenith Construction (CZC).
Ia melibatkan tiga persimpangan utama iaitu Persimpangan Satu (di Lebuh Raya Thean Teik), Persimpangan Dua (Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah), dan Persimpangan Tiga (di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu), dengan reka bentuk termasuk simpang “left in-left out” serta pusingan U bertingkat. – KOSMO! ONLINE