fbpx

MCMC siasat, jumpa radio Era FM berhubung isu persenda agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAHMI gesa siasatan terhadap stesen radio berhubung isu persendaaan agama.

PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata antara lain MCMC juga perlu memanggil semua yang terlibat termasuk pihak Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan penjelasan penuh.

“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.

“Jadi, saya arahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat SKMM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.

Menerusi hantaran di akaun Instagram Era FM, tiga penyampai itu memohon maaf atas video berkenaan dan mengakui tidak sensitif terutama kepada bangsa India.

Pengurusan stesen terbabit turut mengumumkan ketiga-tiga mereka digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan dalaman berhubung isu tersebut selesai dijalankan syarikat.

Fahmi berkata, langkah memanggil mereka memberi penjelasan itu bertujuan memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Astro Audio memaklumkan pihak pengurusan tertinggi sudah bertemu wakil MCMC dan turut memutuskan untuk menggantung dua lagi
kakitangan lain.

“Pihak kami akan terus mengadakan siasatan dalaman terperinci dan lanjutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan tertinggi kami mengadakan perjumpaan bersama MCMC awal hari ini.

“Selaras dengan siasatan ini, kami memutuskan untuk menggantung tiga penyampai dan dua lagi kakitangan sebagai tambahan.

Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat dari pelbagai pihak,” tulis kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI