KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 keterangan telah dirakam terhadap dua suspek yang merupakan pegawai dan anggota polis berhubung dakwaan mencuri RM300,000 di Bukit Jalil baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pegawai terbabit telah diarahkan berpindah sementara ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Katanya, anggota terbabit pula berkemungkinan dipindahkan ke IPD Dang Wangi sementara menunggu keputusan siasatan.
“Buat masa ini, mereka tidak dicadangkan untuk digantung tugas tetapi hanya ditempatkan sementara di IPD lain.
“Kes ini telah selesai dan siasatan juga sudah lengkap serta menunggu arahan Bukit Aman kerana ia melibatkan penjawat awam,” kata pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dua lelaki berpangkat inspektor dan koperal masing-masing berusia 44 serta 34 tahun ditahan pada 23 Februari lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, berhubung dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang anggota polis beliau berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Bukit Aman, semalam.
“Kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut serta menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan secara telus,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika memberi keterangan di sebuah IPD berkaitan satu perhimpunan yang diadakan di ibu kota pada 19 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE