KUALA LUMPUR – Kandungan sudah memasuki bulan keenam, pelakon Elisya Sandha mengakui masih merahsiakan jantina anak keduanya yang dijangka dilahirkan pada Mei depan.
Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha Mohd. Faizal, 26, berkata, dengan ibu mentua, Sheila Rusly, dia dan suami juga enggan mendedahkan perkara itu, sebaliknya menunggu majlis khas pengumuman jantina selepas hari raya.
“Jantina anak kita belum maklumkan lagi. Kita akan adakan majlis ‘gender reveal’ Syawal nanti. Cuma saya dan suami sahaja yang tahu, mak mentua saya pun belum tahu.
“Buat masa ini, kami memang nak berahsia walaupun ibu mentua saya cuba korek. Dia ada teka anak lelaki sebab katanya tengok bentuk perut.
“Dulu ketika hamil anak pertama mentua kata saya bakal timang bayi perempuan. Apa pun doakan semuanya dilancarkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di LXM Resources, baru-baru ini.
Mengenai kondisi kesihatan, isteri kepada Elisya Sandha, Uzair Haqimy Azman itu mengakui mengalami alahan teruk sepanjang tempoh ini.
Katanya, antara kerisauan utama adalah situasi dilalui boleh menjejaskan kemampuannya untuk berpuasa memandangkan tiga tahun lalu dia dapat puasa penuh ketika mengandung anak pertama.
“Sebenarnya ketika saya mengandungkan Bunga sebelum ini, saya dapat berpuasa penuh, tak tinggal satu hari pun. Saya sangat gembira kerana itu memang sasaran saya.
“Tapi pada kehamilan kali ini, jika lihat pada keadaan, saya rasa tak mampu nak berpuasa penuh tapi saya akan tetap cuba.
“Kali ini alahan teruk, bengkak kaki dan mudah penat. Kalau berjalan dalam jarak dekat pun saya senang mengah. Suami sarankan saya banyakkan rehat,” katanya.
Tetap turun ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka, kata Elisya, Uzair Haqimy atau Haq seorang yang tidak cerewet namun menggemari lauk telur itik masak lemak pedas.
Bersyukur dikurniakan ibu mentua yang serba-serbi hebat di dapur, dia kini mampu menyediakan pelbagai hidangan untuk seisi keluarga.
“Suami memang suka sangat telur itik masak lemak yang pedas. Jadi beberapa kali seminggu saya sediakan lauk kegemarannya. Sahur pula kami makan sahaja lauk lebih berbuka.
“Jangan membazir, cuma sekarang saya memang kena makan nasi masa sahur untuk tenaga. Saya pun pelik sebab kali ini saya makan agak banyak. Selepas nasi, saya boleh makan roti pula,” katanya.
Elisya dan Uzair mendirikan rumah tangga pada Ogos 2017 dan dikurniakan seorang puteri, Bunga yang kini berusia hampir tiga tahun. -KOSMO! ONLINE