KOTA BHARU – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di tepi jalan di Kuala Krai dekat sini pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Khairuddin Khalid, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun lima bulan semasa kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan tepi jalan di kawasan Kampung Enggong, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Disember 2024, manakala tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Husni Mubarak.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi dan mangsa selain 17 April depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE